Konsert Satu Suara Volume 2 yang telah berlangsung selama dua hari berturut-turut pada 7 dan 8 November lalu memang akan sentiasa diingati bukan sahaja oleh para penonton, tetapi oleh mereka yang berada di atas pentas - Dato' Siti Nurhaliza yang ditemani oleh Hetty Koes Endang dan Dato' Ramli Sarip.
Gabungan itu nampaknya mencetuskan satu garapan mantap dari tiga generasi, tiga negara dan tiga genre berbeza dalam aliran muzik masing-masing.
Pada Konsert Satu Suara Volume 2 yang berlangsung di Istana Budaya itu, Siti telah melantunkan lagu-lagu hitnya sepanjang perjalanan karier sebagai penyanyi, antaranya, 'Sendiri', 'Terbaik Bagimu', serta medley 'Bicara Manis Menghiris Kalbu' dan 'Kesilapanku Keegoanmu'.
Tidak cukup dengan itu, setiap mata penonton tertumpu di pentas dengan kemunculan dua bintang 'otai' dari Indonesia, Hetty Koes Endang yang menghangatkan pentas Istana Budaya dengan lagu 'Hadirlah Kasih'.
Antara persembahan yang turut mengundang tepukan gemuruh serta sorakan daripada penonton adalah medley 'Bukan Cinta Biasa' dan 'Pastikan' yang diberi nafas baru oleh Siti dan Hetty.
Kemunculan Dato' Ramli Sarip juga turut mendapat tepukan gemuruh apabila dia hadir melantunkan medley 'Dialah Di Hati' dan 'Teratai' bersama Siti.
HETTY USAP PERUT SITI
Tatkala sedang berbicara bersama penonton, Hetty yang lebih mesra disapa sebagai Ibu Hetty secara spontan bertanyakan kepada Siti, "Siti impikan berapa orang anak?" dan secara spontan juga Siti menjawab "15," dalam nada bercanda.
Ibu Hetty mengusap perut penyanyi nombor satu negara itu, sekaligus berdoa dan memohon para penonton untuk sama-sama mengaminkan doanya agar Siti dan suaminya, Dato' Seri Khalid Mohamad Jiwa dikurniakan cahaya mata.
Apa pun, konsert dua malam itu memang meninggalkan kesan kepada semua penonton dan ketika ditemui, Siti sendiri memaklumkan mengenai Konsert Satu Suara edisi seterusnya.
"InsyaAllah kalau ada rezeki, kita akan membawakan konsert ini ke Singapura dan Indonesia," jawabnya ringkas.
0 Response to "MANTAP! USAPAN HETTY KOES ENDANG DI PERUT SITI CURI TUMPUAN"
Post a Comment