FAIZAL HUSSEIN SEDIH



Selepas setahun tiga bulan filem Kapsul selesai, pihak produksi membuat pengambaraan semula untuk babak penting dalam Kapsul. Walaupun dengan ketiadaan pengarah Allahyarham Martias Ali, babak penting tersebut dapat direalisasikan oleh pihak produksi. Penglibatan Tun Dr.Mahathir Mohamad dalam Kapsul adalah satu yang memang dinantikan.
 
Pelakon utama filem Kapsul, Faizal Hussein antara yang gementar saat bertemu Tun. “Memang saya gementar apabila dapat tahu berlakon dengan Tun. Saya siap bawa anak untuk temankan saya. Sebenarnya saya bawa dia sebab mahu dia ambil gambar dengan Tun. Pada hari pengambaraan bersama Tun, kami seluruh produksi memang berdebar. Pada pagi itu, Tun ingat dia hanya diperlukan untuk babak membawa kereta. Kami semua terangkan kepada beliau untuk berdialog kemudian dua kali beliau cuba berdialog dan berjaya. Kemudian Tun setuju untuk berlakon. Bayangkan masa itu, pagi itu baru dapat persetujuan Tun. Kami memang gembiralah sebab dapat juga pinta Tun berlakon”, cerita Faizal.
 
Walaupun ada sedikit kontroversi mengenai filem Kapsul, tetapi bagi Faizal, itu bukan menjadi masalah. Ini kerana Kapsul memang sesuai untuk ditonton oleh semua jenis bangsa malah juga seisi keluarga. “Kapsul bukan sebuah filem politik atau sebagainya. Ia sebuah filem mengenai bangsa Melayu, Cina, India dan juga lain-lain. Kapsul mahu menunjukan bahawa kita jangan lupa pada diri sendiri. Ia sebuah filem patriotik tetapi dipersembahkan dalam bentuk layar perak dengan cara yang berbeza”. Kapsul telah pun ditayangkan di pawagam pada 17 September 2015.
 
Faizal turut berkongsi rasa sedih apabila pengarah Kapsul tidak ada bagi meraikan filem Kapsul ini. “Semestinya saya sedih kerana Allahyarham tidak ada bersama untuk menonton Kapsul buat kali pertamanya bersama media dan orang ramai. Memang cita-cita Allahyarham mahukan Tun hadir pada malam tayangan perdana ini tetapi arwah tidak ada. Sebenarnya filem ini memang arwah buat untuk dedikasi kepada Tun. Tetapi tidak mengapalah. Itu sudah takdir,kan?”, tutur Faizal dengan rasa sebak. 

Related Posts:

0 Response to "FAIZAL HUSSEIN SEDIH"

Post a Comment