SISI DIMENSI DI SEBALIK SERAGAM ACP SHAHARON ANUAR ABDUL LATIFKENAL TAK PELAKON NI

sarjan.jpg

SISI DIMENSI DI SEBALIK SERAGAM : ACP SHAHARON ANUAR ABDUL LATIF
Jika disebut mengenai drama yang memaparkan kisah dunia kepolisan sudah semestinya drama Gerak Khas akan meniti di bibir masyarakat. Siapa yang tidak mengenali watak Insp Aliza, Insp Mazlan dan Sarjan Misai yang dilakonkan oleh pelakon-pelakon terkenal tanah air. Namun kan tahukah anda watak ASP Saiful iaitu merupakan satu daripada watak yang dilakonkan dalam siri awal drama Gerak Khas itu pada realitinya adalah seorang Pegawai Kanan Polis yang sebenar.
Sisi Dimensi Di Sebalik Seragam kali ini membawa netizen mengenali dengan lebih rapat lagi siapakah individu yang memegang watak ASP Saiful ini. Watak yang menggambarkan seorang pegawai kanan polis yang tegas, berdisiplin dan bertanggungjawab serta pada masa yang sama amat disenangi oleh pegawai dan anggota bawahannya. Begitulah gambaran watak di dalam lakonan yang sebenarnya menggambarkan keperibadian sebenar Assisten Komisioner Polis (ACP) Shaharon Anuar Bin Abdul Latif.
Sentiasa berpegang teguh kepada tagline Jadi Yang Terbaik menjadikan beliau seorang yang bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Dilahirkan pada 1 Ogos 1962 di Taiping Perak, ayah kepada empat cahaya mata ini telah dikurniakan seorang cucu yang kini berumur dua tahun. Walaupun terikat dengan jadual harian yang padat beliau tetap mengutamakan masa bersama keluarga dan ianya bukan penghalang kepada beliau untuk aktif dalam sukan kegemaran beliau iaitu tenpin bowling dan berbasikal.
Menceritakan serba sedikit titik permulaan beliau menceburkan diri dalam bidang lakonan. Ianya bermula pada tahun 1999 ketika beliau berkhidmat di Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, sebahagian dari tugas beliau adalah menyemak skrip-skrip drama/filem kepolisan dan sentiasa berada di lokasi penggambaran sebagai Penasihat Teknikal Kepolisan dan dari situ, Pengarah Datuk Yusof Haslam telah menawarkan beliau untuk berlakon. Rentetan itu beliau telah mendapatkan kebenaran untuk menjalankan kerja luar dari jabatan (PDRM) selaras dengan kehendak di bawah Perintah Am, Bab D.
Beliau berpendapat bahawa lakonan adalah sebahagian daripada konsep dakwah kerana ianya dapat menyampaikan mesej dan memberi pengajaran kepada masyarakat melalui siri-siri drama kepolisan yang diterbitkkan. Selain Gerak Khas beliau juga pernah membintangi drama Roda-Roda Kotaraya dan Maria Mariana.
Namun pada tahun 2001, beliau mengambil keputusan untuk berehat dalam seni lakon layar kerana ingin menumpukan perhatian kepada tugas- tugas hakiki sebagai pegawai kanan polis dan melanjutkan pelajaran di menara gading, tetapi bakat seni beliau tidak terhenti di situ apabila mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip drama. Beliau telah berjaya menghasilkan sebanyak 20 naskah skrip dan penat lelah itu berbaloi apabila empat daripadanya telah ditayangkan.
Menyingkap 30 tahun pengalaman dalam pasukan, beliau telah memulakan kerjaya dalam dunia kepolisan sebagai Pelatih Inspektor pada tahun 1985 dan pernah berkhidmat sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Perdagangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah (1985-1989). Antara jawatan penting yang pernah disandang adalah Inspektor Perkhidmatan, Bukit Aman (1980-1990), Inspektor Perhubungan Awam, Bukit Aman (1990-1996), ASP Perhubungan Awam, Bukit Aman (1996-2003), DSP Siasatan 2 Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Kotinjen (IPK) Kuala Lumpur (2005), Superintendan Siasatan 1, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, IPK Pulau Pinang (2005-2012), Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Perak (2012-2015) dan terkini beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Perak.
Beliau yang berpengalaman di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah dianugerahkan Certified Financial Investigator oleh Bank Negara kerana mengikuti Program Penyiasat Kewangan Bertauliah selama setahun. Semasa berkhidmat selama 13 tahun di Cawangan Perhubungan Awam bersama Bahagian Penerbitan Unit Radio TV, beliau pernah menjadi penyampai radio dan telah menerbitkan segmen Polis Dan Anda yang disiarkan melalui Radio Satu Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Program ini telah mendapat pengiktirafan dengan meraih Anugerah Seri Angkasa bagi Kategori Dokumentari Radio Terbaik dan Majalah Radio Terbaik sebanyak tiga kali pada tahun 1996, 1999 dan 2001. Ia merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan apabila PDRM diberi pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
Selain itu, ACP Shaharon juga aktif di bidang pengacaraan majlis, bukan sahaja di peringkat Bukit Aman malahan majlis-majlis rasmi di Istana Negara, dan kini beliau berkongsi ilmu menerusi pengendalian kelas atau bengkel pengacaraan kepada generasi pelapis.
Menggalas tanggungjawab sebagai seorang pegawai kanan dan seorang ketua keluarga sudah semestinya beliau melalui pelbagai cabaran dan rintangan semasa melaksanakan tugas. Mengimbas kembali pengalaman-pengalaman tugas yang lalu beliau mengakui tugas sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) adalah sesuatu yang sangat mencabar. Apatah lagi dalam tempoh beliau menjadi KPD Batu Gajah itu berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-13. Beliau menghadapi cabaran-cabaran tersebut yang merangkumi pelbagai dimensi antaranya cabaran dalam mentadbir-urus pegawai dan anggota polis serta pegawai-pegawai awam. Beliau juga berhadapan dalam menangani sungutan dan ekspektasi masyarakat yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan isu-isu semasa. Namun begitu beliau sentiasa yakin dengan komitmen yang bersungguh-sungguh, segala cabaran itu dapat diatasi.
Tugasnya sebagai seorang pegawai polis, sering menuntutnya untuk berkorban masa dan tenaga. Namun begitu, keutamaannya adalah tetap kepada keluarga selain perlu membahagikan masa dengan aktiviti-aktiviti yang diminatinya. Beliau amat bersyukur dan berbangga, memiliki keluarga yang sangat memahami dan menyokong segala yang dilakukan.
Bagi memantapkan pengetahuannya, pada tahun 2002 beliau telah mengikuti Pengajian Diploma Sains Siasatan (DSS) di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur dan telah dinobatkan sebagai peserta kedua terbaik. Kenangan manis ini tambah membahagiakan apabila sebaik tamat pengajian beliau dinaikkan pangkat ke Deputy Superintenden Polis (DSP) pada tahun yang sama.
Di atas komitmen dalam tugas dan pernah menaikkan imej PDRM, beliau telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali dan beberapa penganugerahan pingat antaranya Pingat Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Pahlawan Sukan Polis (PPP), Pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) dan Pingat Pahlawan Gagah Pasukan Polis (PGPP).
Beliau yang begitu merendah diri menceritakan bahawa secara umumnya tiada kejayaan teristimewa yang khusus sepanjang perkhidmatannya dalam pasukan kerana beliau menganggap semua penugasan yang diamanahkan perlu dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab dan istiqamah. Tiada kejayaan datang bergolek jika tidak diusahakan dengan seikhlas hati. Contoh dan teladan seperti ini telah memberi sumber dan inspirasi kepada pegawai-pegawai muda yang bakal menerajui hala tuju pasukan PDRM.

Related Posts:

0 Response to "SISI DIMENSI DI SEBALIK SERAGAM ACP SHAHARON ANUAR ABDUL LATIFKENAL TAK PELAKON NI"

Post a Comment