Mayat Dua Orang Adik Beradik Ditemui Rentung Berpelukan


Dua orang kanak-kanak perempuan yang merupakan adik beradik terkorban selepas terperangkap di dalam satu kejadian kebakaran di rumah mereka di Tanjung Minyak, Melaka, kira-kira jam 5.50 petang, pada Jumaat.

Memetik laporan Astro Awani, keadaan kanak-kanak ini dijumpai dengan agak menyedihkan dan membuatkan orang ramai agak sayu apabila mangsa yang dikenali sebagai Nur Maisarah Balqis Rosghazali, 7,  dan adiknya Nur Qalisha Balqis Rosghazali, 6, ditemui dalam keadaan rentung berpelukan di bawah katil.

Menurut bapa mangsa, Rosghazali Shapie, 40, beliau telah cuba menyelamatkan kedua-dua anaknya itu namun asap yang tebal menyebabkan dia sendiri pengsan di dalam rumah tetapi berjaya diselamatkan oleh orang ramai.


Penolong Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka, Mohd. Adli Abd. Rahman berkata, 18 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke tempat kebakaran sebaik menerima laporan pada kira-kira jam 5.38 petang.

“Kami telah menerima panggilan pada jam 5.38 petang dan mendapati berlaku kebakaran. Seramai 18 anggota serta ambulans Jabatan Bomba dan Penyelamat terlibat.

“Sampai saja ke tempat kejadian kita mendapati terdapat seorang mangsa lelaki melecur dan dia dapat dikeluarkan

Ketika membuat operasi menyelamat, kami mendapati terdapat dua orang mangsa lagi iaitu kanak-kanak berumur enam dan tujuh tahun yang rentung di dalam bilik,” kata Mohd. Adli.

Siasatan awal pihak bomba, kebakaran dipercayai berpunca dari sebuah bilik tengah di rumah berkenaan sebelum merebak dan memusnahkan hampir 70 peratus daripada kediaman tersebut.

Beliau juga berkata, kebakaran berkenaan turut menyebabkan sebuah kereta milik keluarga mangsa mengalami kerosakan.

“Punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” kata beliau.

Mayat kedua-dua adik beradik itu dibawa ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat, manakala bapa mereka turut menerima rawatan di hospital yang sama.

Difahamkan, ketika kejadian bapa mangsa berada di luar rumah, sementara ibu mereka bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Arab Saudi. . 

Related Posts:

0 Response to "Mayat Dua Orang Adik Beradik Ditemui Rentung Berpelukan"

Post a Comment