PANAS!!!UMNO SAMAN NAJIB USD650 JUTA








Suatu kes writ saman nampaknya telah diambil terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh salah seorang ahli parti Umno atas nama parti tersebut yang mendakwa bahawa beliau telah melakukan fraud ke atas ahli-ahli parti politik tersebut berkenaan dengan penerimaan derma sebanyak RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi beliau pada March 2013 serta penggunaan dana itu tanpa pengetahuan parti.
Saman tersebut mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai seorang pemegang amanah berdasarkan Common Law, dan menuntut pembayaran balik sejumlah USD650 juta yang didakwa telah dikirim keluar oleh beliau ke satu akaun di bank Singapura yang bukan milik Umno pada 30 Ogos 2013.
Najib Razak juga dikehendaki membutirkan semua dana yang diterima beliau dalam bentuk derma dan juga penggunaan semua dana yang telah atau pada bila-bila masa tersimpan di dalam akaun AmBank Private Banking milik beliau di mana dana RM2.6 bilion itu diterima. Saman juga menuntut ganti rugi untuk ditaksir, kos dan relif-relif lanjut atau relif-relif lain yang akan ditetapkan oleh mahkamah.
Saman yang difailkan bagi pihak Umno turut mendakwa bahawa kedudukan Najib Razak sebagai ‘pesalah memegang kuasa’ dan kawalan beliau ke atas Umno telah mengakibatkan Umno tidak mampu mempertahankan atau membuat tuntutan bagi kepentingan parti terhadap Najib Razak.
“Plaintif menyatakan bahawa Majlis Tertinggi Umno tidak berupaya dan/atau tidak berdaya untuk bertindak terhadap Najib Razak kerana kuasa dan pengaruh yang dimilikinya terhadap Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan yang merosakkan kepentingan ahli Umno,” begitu bunyi Pernyataan Tuntutan itu.
Plaintif juga memohon untuk mendapatkan relif injunksi untuk menghalang Ab Rauf Yusof, yang turut disaman di dalam kapasitinya sebagai pegawai am Umno, sama ada secara sendirinya dan/atau melalui Jawatankuasa Disiplin Umno, Majlis Tertinggi Umno, Badan Perhubungan Negeri, Bahagian dan Cawangan daripada mengambil sebarang tindakan untuk membuang beliau sebagai ahli Umno sementara kes ini diadili, semata-mata demi mengelakkan liabiliti ke atas kes ini.
Sememangnya Pernyataan Tuntutan kes ini bersandarkan perkara-perkara yang sudahpun diketahui umum kerana telah menjadi berita sensasi sejak Wall Street Journal mendedahkannya pada 2 Julai 2015 lalu.

Wall Street Journal telah mendakwa bahawa dana USD681 juta telah dikirim ke akaun peribadi Najib Razak di AmBank Private Banking pada 21 dan 25 Mac 2013 dari Falcon Private Bank di Singapura.
Pernyataan Tuntutan itu turut mengatakan bahawa Najib Razak telah membuat pengakuan secara terbuka bahawa beliau telah menerima RM2.6 bilion di dalam akaun peribadinya dan juga bahawa beliau bukan merupakan benefisiari peribadi kepada wang tersebut. Najib Razak juga dikatakan telah mengakui secara terbuka bahawa dana itu merupakan suatu derma daripada seorang dermawan Timur Tengah yang tidak dinamakan.
Pernyataan Tuntutan itu juga mendakwa bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi Umno menyatakan Najib Razak telah dilantik sebagai pemegang amanah Umno, bahawa wang tersebut adalah dana politik dan bahawa mereka telah menerima wang dari akaun peribadi beliau untuk membiayai operasi politik mereka.
“Oleh itu, Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah bagi kepentingan dan kegunaan Umno. Selanjutnya dan/atau sebagai alternative Plaintif menyatakan bahawa Najib Razak adalah memegang dan/atau telah memegang RM2.6 bilion tersebut sebagai amanah konstruktif bagi kepentingan dan kegunaan Umno,” Pernyataan Tuntutan tersebut menyimpulkan.
Pernyataan Tuntutan itu selanjutnya mendakwa bahawa Najib Razak telah melanggar Perlembagaan Umno, peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan tanggungjawabnya sebagai pemegang amanah dengan cara:
  1. Tidak memaklumkan atau mengisytiharkan bahawa beliau telah menerima sejumlah RM2.6 bilion tersebut kepada Majlis Tertinggi Umno;
  2. Menolak atau gagal memberi penjelasan kepada Umno tentang kegunaan RM2.6 bilion tersebut;
  3. Tidak membenarkan Umno untuk memberi penjelasan tentang jumlah RM2.6 bilion bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
  4. Gagal menyebabkan jumlah RM2.6 bilion tersebut dinyatakan dalam akaun Umno yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2013 dan 2014;
  5. Memindahkan wang berjumlah US$650 juta kepada sebuah akan bank di Singapura yang tidak dimiliki oleh Umno pada atau kira-kira 30 Mac 2013;
  6. Telah membayar dan/atau memindah USD650 juta secara bertentangan dengan Perlembagaan Umno;
  7. Telah menggunakan dan/atau menyimpan sebahagian dari jumlah RM2.6 bilion untuk kepentingan dirinya sendiri secara menjejaskan kepentingan Umno; dan
  8. Pada setiap masa sebelum menerima jumlah RM2.6 bilion tersebut, Majlis Tertinggi Umno tidak pernah melantik beliau menjadi pemegang amanah bagi tujuan menerima wang tersebut.
Saman difailkan oleh firma guaman Haniff Khatri. – FMT NEWS

Sumber Artikel Ini : http://suarasabah.com/2015/08/panas-umno-fail-saman-usd650-juta-terhadap-najib-razak/#ixzz3vKg140KJ

Related Posts:

0 Response to "PANAS!!!UMNO SAMAN NAJIB USD650 JUTA"

Post a Comment